Hooman & Pawlooza Buka Peluang Usahawan Muda Kembangkan Perniagaan
MIRI: Hooman & Pawlooza 2026 menjadi platform bagi usahawan muda tempatan mempromosi produk, memperluas pasaran dan menjana pendapatan menerusi penjualan pelbagai produk serta makanan buatan sendiri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penyertaan golongan muda dalam acara berkenaan merupakan perkembangan positif yang membuka peluang kepada mereka menceburi bidang perniagaan dan menjana pendapatan.
Menurut beliau, pelbagai jenis makanan, kek dan produk yang dipamerkan mencerminkan kreativiti serta kebolehan usahawan muda menghasilkan produk unik dan berbeza daripada yang biasa terdapat di pasaran.
“Platform seperti ini bukan sahaja membantu usahawan muda memperkenalkan produk masing-masing, malah menggalakkan mereka terus berinovasi dan mengembangkan potensi perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian program tersebut di Permy Mall, di sini, pada Jumaat.
Dato Sri Lee turut memuji usaha penganjur menyediakan ruang kepada usahawan muda untuk memasarkan produk masing-masing, sambil berharap penyertaan itu dapat memberi pengalaman serta dorongan kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan.
Berlangsung dari 29 Oktober hingga 1 November, acara itu menampilkan 53 gerai makanan serta pelbagai aktiviti, termasuk Mini Zoo, pameran kereta sukan dan kereta ubah suai, pertandingan mewarna kanak-kanak, aktiviti bertemakan Halloween dan persembahan Cardio Dance.
Pengunjung turut berpeluang membawa kucing peliharaan masing-masing ke acara berkenaan selain menikmati pelbagai pilihan makanan, minuman dan produk jualan vendor tempatan.- EDISI UKAS