RM334 Juta Diperuntukkan Bagi Projek Jalan Berkembar Simpang Pan Borneo-Sri Aman
SRI AMAN: Projek pembinaan jalan berkembar dari Simpang Pan Borneo ke Sri Aman bernilai RM334 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti jaringan jalan raya serta menangani kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, laluan sedia ada semakin sesak berikutan peningkatan jumlah kenderaan dan perkembangan Sri Aman.
“Jalan kita dari Simpang Pan Borneo masuk ke Sri Aman sempit. Sekarang Sri Aman sudah berkembang, jumlah kenderaan semakin banyak dan kesesakan berlaku.
“Jadi, projek jalan berkembar ini sudah diperuntukkan dengan kos RM334 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, projek berkenaan akan melibatkan pembinaan jalan berkembar (dual carriageway) dari Simpang Pan Borneo ke Sri Aman bagi meningkatkan kelancaran pergerakan trafik.
Katanya, laluan tersebut turut menjadi sebahagian daripada jaringan perhubungan yang menghubungkan Sri Aman dengan Jambatan Batang Lupar II, seterusnya ke Second Trunk Road, Sebuyau dan Betong.
Beliau menambah, pembangunan infrastruktur berkenaan penting bagi menyokong pertumbuhan Sri Aman yang semakin berkembang sebagai pusat ekonomi dan pentadbiran bagi kawasan sekitarnya.-EDISI UKAS