Pemeriksaan Kesihatan Berkala Cegah Risiko Penyakit Tidak Berjangkit
BETONG: Masyarakat perlu mengutamakan pemeriksaan kesihatan berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengesan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) lebih awal, khususnya diabetes, darah tinggi, penyakit jantung dan kanser.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, langkah pencegahan itu selaras dengan usaha kerajaan mentransformasikan sistem kesihatan negara daripada pendekatan ‘sick care’ kepada ‘health care’ yang mengutamakan pencegahan penyakit dan penjagaan kesihatan secara berterusan.
“Rakyat disaran memanfaatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer di klinik kesihatan berdekatan dengan menjalani saringan secara berkala sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setahun tanpa perlu menunggu sehingga jatuh sakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Parlimen Betong Tahun 2026 di Rumah Panjang Serudit A, di sini, pada Sabtu.
Menurut Dato Dr Richard, pencegahan NCD memerlukan komitmen masyarakat melalui pemeriksaan kesihatan berkala, pematuhan terhadap nasihat dan rawatan doktor serta amalan pemakanan sihat, termasuk mengurangkan pengambilan gula, garam dan minyak, selain memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Beliau turut menggalakkan orang ramai melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki dan berkebun, selain menekankan kepentingan penjagaan kesihatan primer bagi mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital supaya kemudahan berkenaan dapat memberi tumpuan kepada kes kecemasan dan penyakit serius.
Sehubungan itu, katanya, perkhidmatan di klinik kesihatan seperti Klinik Layar dan Klinik Debak terus diperkukuh bagi memudahkan rakyat mendapatkan saringan, imunisasi dan rawatan awal.
Dalam pada itu, beliau menyokong cadangan penggunaan peralatan perubatan mudah alih, termasuk mesin X-ray dan peralatan saringan mata, bagi membolehkan pasukan kesihatan menyampaikan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan pedalaman dan rumah panjang.
Beliau turut memaklumkan bahawa Bahagian Betong merupakan satu-satunya bahagian yang melaksanakan sistem digital sepenuhnya bagi urusan penguatkuasaan larangan merokok, dengan orang awam boleh menyalurkan aduan menerusi aplikasi MySejahtera berserta gambar untuk tindakan pihak berkuasa.
Turut hadir, Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr. Mohamad Norhaizam, Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohamad Nizam, wakil Pegawai Daerah Betong, Mohd Shahril Gasit, Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Leo Toni, Pegawai KEMAS Bahagian Betong, Jefry Lana, Jurutera Bahagian JKR Betong, Jason Ng Boon Tuan serta Tuai Rumah Panjang Serudit A, Ngalayang Voon.-EDISI UKAS