Kampus Tetap Sarawak Skills Di Sri Aman Dipohon Bagi Perluas Peluang TVET
SRI AMAN: Pembinaan kampus tetap Sarawak Skills di Sri Aman dipohon bagi memperluas peluang golongan belia di bahagian itu mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, permohonan itu dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk pertimbangan dan sokongan.
Menurut beliau, Sarawak Skills Training Centre di Sri Aman yang beroperasi di premis sewa sejak 2024 telah melatih 67 pelajar menerusi tiga program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), sekali gus memperlihatkan potensi pembangunan latihan kemahiran di bahagian itu.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa Sri Aman mempunyai permintaan dan potensi yang besar dalam bidang TVET.
“Justeru, bagi membolehkan lebih ramai pelajar diterima dan lebih banyak kursus teknikal ditawarkan, saya dengan penuh hormat memohon pertimbangan dan sokongan Yang Amat Berhormat Premier untuk membina sebuah kampus tetap Sarawak Skills di Sri Aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman, di sini pada Sabtu.
Datuk Dr Malcolm menambah, seramai 1,766 peserta turut mengikuti pelbagai kursus jangka pendek termasuk teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), pemprosesan produk hiliran nanas dan reka bentuk digital.
Katanya, pembinaan kampus tetap itu penting bagi meningkatkan kebolehpasaran belia tempatan serta menyediakan tenaga kerja berkemahiran untuk memenuhi keperluan pembangunan ekonomi Sarawak.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodi, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS