96 Pasukan Sertai Kejohanan Petanque Piala Setiaraja Mukah 2026
MUKAH: Penyertaan 96 pasukan dari beberapa daerah di Sarawak dalam Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Piala Setiaraja Mukah 2026 membuktikan sukan itu terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.
Kejohanan selama dua hari bermula 31 Oktober hingga 1 November itu berlangsung di Arena Petanque Kala Dana Mukah dan dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, pada Sabtu.
Penyertaan melibatkan pasukan dari Balingian, Sarikei, Bintulu, Matu, Daro dan Sibu, dengan setiap pasukan diwakili dua pemain.
Menurut Dato Hanifah, kejohanan tersebut bukan sahaja menyediakan platform kepada pemain untuk menguji kemahiran dan meningkatkan prestasi, malah menggalakkan persaingan secara sihat serta memupuk semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan.
"Selain aspek sukan, kehadiran peserta dari luar daerah turut memberi limpahan ekonomi kepada Mukah apabila meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, makanan dan perniagaan setempat sepanjang kejohanan berlangsung.
"Penganjuran seperti ini juga menjadi medium memperkukuh hubungan silaturahim antara komuniti sukan dari pelbagai daerah, selain mempromosikan Mukah sebagai lokasi penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi," katanya.
Penganjuran oleh Pusat Khidmat P213 Mukah dengan kerjasama Kelab Boules La Sakura Mukah itu turut menjadi platform mengukuhkan hubungan antara komuniti sukan dari pelbagai daerah serta mempromosikan Mukah sebagai lokasi aktiviti sukan dan rekreasi.
Hadir sama, Pengerusi Kelab Boules La Sakura Mukah, Adzar Azam Mohammed, ADO Nolin Gendang dan Ketua Polis Daerah Mukah Mohamad Rizal Alias.-EDISI UKAS