Sarawak Tarik Minat Pelabur Jepun Dalam Industri Teknologi Tinggi
SRI AMAN: Sarawak terus menarik minat pelabur antarabangsa, termasuk dari Jepun, untuk meneroka peluang dalam industri berteknologi tinggi seperti pembangunan pusat data pintar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, selain keupayaan bekalan tenaga, dasar pendidikan tinggi percuma yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak turut menjadi antara faktor yang menarik minat pelabur berkenaan.
Menurut beliau, dasar itu berupaya melahirkan tenaga kerja tempatan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran teknologi bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi pada masa hadapan.
“Semasa pertemuan saya bersama beliau (pelabur Jepun), beliau berkata bahawa beliau telah meneliti dasar Sarawak dan bukan sahaja tertarik dengan keupayaan negeri ini dari segi tenaga, malah turut melihat dasar pendidikan percuma sebagai antara kekuatan utama Sarawak dalam menyediakan rakyatnya mencapai tahap kemajuan teknologi yang lebih tinggi.
“Ini menunjukkan pendidikan bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak Sarawak, malah menjadi antara faktor yang meningkatkan daya tarikan negeri ini kepada pelabur antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, Sarawak kini sedang membina ekosistem yang membolehkan anak tempatan memperoleh pendidikan dan kemahiran teknologi terkini bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi, termasuk bidang semikonduktor dan pusat data.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM200 juta setahun bagi pelaksanaan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak, merangkumi 64 program pengajian termasuk bidang berasaskan sains serta bidang lain yang diperlukan oleh ekonomi negeri.
“Apabila mereka lulus, mereka dapat tempat dan terus masuk universiti tanpa mengira latar belakang sosial, sama ada anak nelayan, anak petani atau daripada keluarga B40,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) merangkap Menteri yang bertanggungjawab terhadap Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodi, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS