Pengesanan Awal Penting Tangani Penyalahgunaan Dadah Dalam Kalangan Murid
SERIAN: Pengesanan awal penyalahgunaan dadah dan substans dalam kalangan murid penting bagi membolehkan tindakan intervensi dilaksanakan sebelum masalah itu menjejaskan kesihatan, kesejahteraan mental dan masa depan mereka.
Sehubungan itu, Program Pemantapan Intervensi Penyalahgunaan Dadah dan Substans Bersama Guru Bimbingan dan Kaunseling diadakan di sini, pada Sabtu bagi memperkukuh keupayaan guru mengenal pasti tanda awal penyalahgunaan dadah dan substans serta melaksanakan tindakan susulan yang bersesuaian.
Guru Bimbingan dan Kaunseling berperanan mengesan perubahan tingkah laku, emosi dan prestasi pembelajaran murid yang berkemungkinan menjadi petunjuk awal kepada masalah berkenaan.
Usaha itu memerlukan kerjasama erat antara pihak sekolah dengan agensi berkaitan, termasuk Pejabat Kesihatan Bahagian Serian, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan secara berkesan.
Penyalahgunaan dadah dan substans bukan sahaja melibatkan aspek penguatkuasaan dan keselamatan, malah turut memberi kesan terhadap kesihatan fizikal, kesejahteraan mental, fungsi keluarga serta pembangunan generasi muda.
Justeru, pendekatan menyeluruh yang merangkumi pencegahan, pengesanan awal, sokongan psikososial, rawatan serta kesinambungan penjagaan juga perlu diperkukuh bagi memastikan individu yang terjejas mendapat bantuan serta sokongan sewajarnya.-EDISI UKAS