Program GEMA Dekatkan Perkhidmatan Agensi Kerajaan Dengan Masyarakat Desa
SERIAN: Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) Parlimen Serian 2026 terus memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan masyarakat luar bandar menerusi penyediaan platform interaksi secara langsung, penyampaian maklumat serta akses kepada pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan.
Penglibatan aktif masyarakat dalam program seumpama itu penting bagi memastikan penduduk bukan sahaja mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan, malah turut berperanan sebagai rakan pembangunan dalam menyuarakan keperluan dan isu setempat.
Program GEMA yang berlangsung selama dua hari bermula 30 Oktober itu turut mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk pertandingan gubahan buah-buahan atau sayur-sayuran tempatan serta pertandingan Poco-Poco kreatif yang melibatkan seramai 36 peserta.
Antara pengisian hari kedua ialah senamrobik, saringan kesihatan dan ceramah kesedaran berkaitan penyalahgunaan dadah, kesihatan serta keselamatan kebakaran yang disampaikan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Kesihatan Bahagian Serian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bahagian Serian.
Turut diadakan ceramah daripada ADTEC JTM Kampus Serian, sesi kuiz interaktif serta pameran dan perkhidmatan agensi termasuk kaunter Agrobank dan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Pelbagai pengisian itu bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat, selain memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan dan maklumat berkaitan keperluan harian tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada urusan di luar kawasan kampung. -EDISI UKAS