SARIKEI: Sebanyak 29 pertubuhan, persatuan dan jawatankuasa di Sarikei menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keperluan pelbagai lapisan masyarakat diberi perhatian.
“Penyerahan peruntukan ini membuktikan komitmen kami yang berterusan untuk memastikan keperluan masyarakat sentiasa diberi perhatian dan tidak berhenti sekadar sebagai perancangan.
“Setiap janji kepada rakyat akan terus diusahakan sehingga dapat direalisasikan, mengikut keperluan dan kemampuan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP bagi kawasan Sarikei di sini, pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Huang, bantuan berkenaan disalurkan secara saksama kepada pertubuhan tanpa mengira kaum dan agama bagi membolehkan mereka terus berkembang serta melaksanakan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan.
Antara penerima peruntukan MRP ialah Persatuan Klan Yek Sarikei, Kelab Sukan Rekreasi Uni Sarikei dan Junior Chamber International Sarikei.-EDISI UKAS