KUCHING: Sarawak bakal menjadi antara dua lokasi pembangunan Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) di bawah inisiatif Belanjawan 2027 bagi memperkukuh sektor penjagaan warga emas dan golongan yang memerlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, Belanjawan 2027 turut memperuntukkan hampir RM3.3 bilion bagi membantu golongan yang memerlukan, termasuk RM1.3 bilion untuk bantuan warga emas dan sektor penjagaan yang dijangka memanfaatkan hampir 200,000 penerima.
“Kerajaan turut merancang pembangunan dua Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) di Sarawak dan Pulau Pinang,” katanya ketika berucap merasmikan Program Santuni Kasih KPWKM dan Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2026 di sebuah pusat membeli-belah di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Nancy berkata, kadar cukai perkhidmatan bagi jagaan warga emas turut dikurangkan daripada lapan peratus kepada enam peratus mulai 1 Januari 2027.
Bagi golongan OKU, sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan yang dijangka memanfaatkan lebih 300,000 penerima, manakala Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik dinaikkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut memperkukuh pelaksanaan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030, selain membuka peluang ekonomi dan pekerjaan dalam sektor penjagaan.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM Dato’ Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM Mohd Daud Mohd Arif, Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Rehana Wan Ali serta Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia Datin Dr Ruhani Mat Min.- EDISI UKAS