Kaunseling Era Digital Perkukuh Kesejahteraan Masyarakat
KUCHING: Pendekatan kaunseling berasaskan teknologi perlu dilaksanakan secara beretika, selamat dan berkesan bagi memastikan masyarakat terus mendapat sokongan profesional dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, hampir 150 kaunselor berdaftar dari seluruh Malaysia hadir bersama-sama dalam Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2026 yang turut mengetengahkan penggunaan teknologi dalam perkhidmatan kaunseling.
“Kaunseling Era Digital: Memacu Kesejahteraan telah dipilih sebagai tema bagi sambutan kali ini selaras dengan agenda nasional bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sejahtera melalui penerapan nilai positif, empati dan prihatin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santuni Kasih KPWKM dan Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2026 di sebuah pusat membeli-belah di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Nancy berkata, masyarakat kini berdepan cabaran seperti tekanan di tempat kerja, ketidakseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan peribadi, konflik keluarga, pengasingan sosial, buli dan gangguan dalam talian serta lambakan maklumat.
Pada majlis sama, buku panduan Technology-Integrated Counselling: A Malaysian Guide to Ethical, Safe and Effective Practice turut diketengahkan sebagai rujukan praktikal bagi membantu kaunselor dan pengamal melaksanakan perkhidmatan kaunseling yang mengintegrasikan teknologi secara beretika, selamat dan berkesan.
Beliau turut menyeru semua kaunselor berdaftar, institusi latihan dan penyedia perkhidmatan kaunseling memanfaatkan buku tersebut bagi meningkatkan kualiti dan amalan profesional.- EDISI UKAS