RM200 Juta Geran Sejahtera MADANI Perkasa 40,000 Wanita
KUCHING: Seramai 40,000 wanita bakal menerima manfaat Geran Sejahtera MADANI bernilai RM200 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi mendapatkan peralatan dan latihan untuk menjana pendapatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, pemerkasaan wanita terus diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif yang menyokong kesejahteraan ibu dan keluarga.
“Pemerkasaan wanita turut diberikan perhatian melalui Geran Sejahtera MADANI sebanyak RM200 juta untuk 40,000 orang penerima, khususnya bagi mendapatkan peralatan dan latihan untuk menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santuni Kasih KPWKM dan Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2026 di sebuah pusat membeli-belah di sini, pada Sabtu.
Usaha memperluas pelepasan cukai bagi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin serta menambah baik kemudahan cuti bersalin penjawat awam turut menjadi antara langkah menyokong kesejahteraan ibu, tambahnya.
Dalam usaha membantu institusi keluarga, ujar beliau, Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAi) pula akan diperluas untuk memanfaatkan 2,000 pasangan, manakala perkhidmatan kesejahteraan lelaki oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut diperluas.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda ekonomi penjagaan negara dan pelaksanaan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030.- EDISI UKAS