KPWKM Seru Masyarakat Dapatkan Khidmat Kaunselor Berdaftar
KUCHING: Masyarakat diseru mendapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia bagi memastikan khidmat profesional yang diterima memenuhi kelayakan ditetapkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, lebih 1,000 kaunselor berdaftar berada di bawah Lembaga berkenaan, manakala sekitar 150 kaunselor hadir memberikan perkhidmatan kepada masyarakat menerusi Program Santuni Kasih KPWKM.
“Kaunselor berdaftar adalah 1,000 lebih kan, 1,000 lebih kaunselor berdaftar. Tapi yang datang untuk memberi kita ni 150,” katanya ketika sidang media selepas Program Santuni Kasih KPWKM dan Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2026 di sebuah pusat membeli-belah di sini, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Nancy, kementeriannya melalui Lembaga Kaunselor Malaysia turut menggalakkan individu yang ingin menceburi bidang kaunseling untuk mendapatkan latihan dan mendaftar secara rasmi.
Beliau berkata, pendaftaran penting bagi memastikan individu yang menawarkan khidmat kaunseling mempunyai kelayakan profesional, khususnya apabila khidmat tersebut melibatkan perkara rasmi seperti prosiding mahkamah.
“Jadi itu amat penting ya kita nak pesankan di sini supaya pastikan mereka yang kita pergi untuk mendapatkan nasihat perlu mencari pendaftar, kaunselor yang berdaftar ya,” ujarnya.
Program Santuni Kasih KPWKM yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan agensi-agensi di bawah kementerian bagi memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat serta perkhidmatan berkaitan kebajikan, kekeluargaan, wanita dan kaunseling.- EDISI UKAS