Sarawak Perlu Manfaatkan Peralihan Tenaga Untuk Jana Peluang Ekonomi
KUCHING: Sarawak perlu memanfaatkan peluang ekonomi daripada peralihan tenaga dan usaha menangani perubahan iklim bagi mewujudkan aktiviti ekonomi baharu, peluang pekerjaan serta memperkukuh kedudukan negeri dalam ekonomi hijau global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Hui Kian berkata, usaha memelihara alam sekitar perlu dilihat melangkaui aspek kesedaran dan tanggungjawab terhadap perubahan iklim, sebaliknya turut membuka peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan Sarawak.
“Kita bukan sekadar menyambut Hari Ozon, tetapi yang lebih penting ialah membina negeri Sarawak serta merebut peluang dalam peralihan tenaga supaya Sarawak dapat menjadi hab tenaga dan menjana pendapatan daripadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Kem Kesedaran Alam Sekitar (KeKAS) bersempena Sambutan Hari Ozon Sedunia 2026 di Sumiran Eco Park & Resort, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Dr. Sim berkata, Sarawak perlu bergerak lebih jauh dengan membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang kelestarian alam sekitar dan penangkapan karbon supaya negeri ini bukan sahaja menyumbang kepada agenda alam sekitar global, malah berupaya meraih manfaat ekonomi daripada kepakaran tersebut.
Menurutnya, kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan industri juga perlu diperkukuh bagi menghubungkan idea penyelidikan dengan sumber pembiayaan serta peluang pelaksanaan.
Beliau menjelaskan bahawa institusi pendidikan mempunyai pelbagai idea dan kepakaran penyelidikan, namun sering berdepan kekangan pembiayaan, manakala agensi dan institusi berkaitan mempunyai sumber kewangan tetapi memerlukan idea baharu untuk dikembangkan.
Justeru, kerjasama strategik antara pihak berkenaan penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada inovasi, aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang memberi manfaat kepada Sarawak.
Beliau turut menekankan kepentingan golongan muda merebut peluang pendidikan dan membangunkan kepakaran dalam sektor strategik, termasuk tenaga, semikonduktor dan penangkapan karbon, bagi menyokong aspirasi pembangunan negeri.
Program berkenaan menghimpunkan peserta daripada pelbagai institusi pendidikan dan komuniti bagi meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta menggalakkan penglibatan generasi muda dalam pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S.Embie