BINTULU: Golongan kanak-kanak perlu berani tampil membantu rakan yang menjadi mangsa buli serta melaporkan kejadian kepada guru, ibu bapa atau orang dewasa yang dipercayai bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat.
Perbuatan mengejek, memulaukan atau membuli rakan tidak seharusnya dianggap sebagai perkara biasa, sebaliknya perlu ditangani dengan sikap prihatin dan saling menghormati.
Selain itu, setiap kanak-kanak perlu menghargai perbezaan serta kelebihan rakan masing-masing tanpa menjadikannya alasan untuk memperlekeh atau menyakiti orang lain.
Kesedaran mengenai bahaya buli itu diketengahkan pada Program Fun Run ‘Hentikan Buli’ dan Pertandingan Mewarna sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Bintulu Tahun 2026 di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada Jumaat.
Program anjuran UPMS dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) itu turut menampilkan aktiviti larian santai dan pertandingan mewarna bagi menggalakkan interaksi positif serta memupuk kesedaran mengenai kepentingan mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas daripada buli.-EDISI UKAS