Kejohanan Badminton Dan Pickleball Eratkan Perpaduan Komuniti
MIRI: Kejohanan Berpasukan Badminton Amatur dan Pickleball Miri 2026 menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan masyarakat selain menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan komuniti setempat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, aktiviti sukan memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum, budaya dan generasi, di samping mengeratkan hubungan komuniti.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk bersaing secara sihat, malah menjadi ruang untuk membina persahabatan dan mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Berpasukan Badminton Amatur dan Pickleball Miri 2026 anjuran SUPP Riam di Champion Badminton Courts, Riam, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Lee turut memuji inisiatif SUPP Riam menganjurkan kejohanan yang menggabungkan badminton dan pickleball, sekali gus memperluas peluang masyarakat menyertai aktiviti sukan.
Beliau berharap lebih banyak pertubuhan komuniti menganjurkan program seumpama itu bagi meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan serta memupuk semangat kesukanan, saling menghormati dan perpaduan dalam kalangan komuniti.
Dalam pada itu, katanya, lebih 50 taman komuniti telah dibangunkan di kawasan Senadin bagi menyediakan kemudahan kepada penduduk untuk bersenam, beriadah serta menjalankan aktiviti bersama keluarga.
Katanya, taman komuniti bukan sekadar menyediakan kemudahan rekreasi, malah berperanan sebagai ruang interaksi masyarakat untuk membina persahabatan dan mengeratkan hubungan kejiranan.
“Persekitaran yang baik bukan sekadar bergantung kepada kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan sistem perparitan, tetapi turut memerlukan kawasan kejiranan yang sihat, selesa dan mesra masyarakat,” ujarnya.- EDISI UKAS