603 Pasukan Sertai Girlscode Challenge 2026, Cungkil Bakat Digital Remaja Perempuan
MIRI: Penyertaan 603 pasukan dari seluruh negara dalam Girlscode Challenge 2026 memperlihatkan peningkatan minat golongan remaja perempuan terhadap bidang teknologi, inovasi digital dan pembangunan penyelesaian berasaskan teknologi.
Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, program berkenaan penting dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal, malah mampu mengaplikasikan kreativiti, empati dan pemikiran kritis dalam menangani permasalahan sebenar masyarakat.
Menurutnya, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) turut membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk membangunkan idea dan inovasi yang memberi manfaat kepada pengguna.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah Girlscode Challenge 2026 di MYY Mall, Miri pada Sabtu.
Adam Yii berkata, pertandingan yang memasuki edisi keenam itu turut membantu peserta mengasah kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan, kreativiti dan pemikiran kritis melalui proses mengenal pasti masalah serta membangunkan penyelesaian bersesuaian.
Katanya, idea yang diketengahkan peserta berpotensi dikembangkan menjadi produk, perkhidmatan atau perniagaan pada masa hadapan, termasuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa menerusi Technovation Girls Challenge.
Beliau turut mengambil contoh kejayaan Team Agape dari SMK St. Anthony, Sarikei yang pernah mencatat pencapaian dalam Technovation Girls sehingga berpeluang membentangkan inovasi mereka di Silicon Valley, Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Realfun Academy Sdn Bhd dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), serta rakan kerjasama termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) atas komitmen memperkasa bakat digital generasi muda.
Adam Yii turut mengalu-alukan penyertaan pasukan dari SMK Lutong dan SMK Pujut yang mewakili Miri, selain peserta, guru dan ibu bapa dari pelbagai negeri serta bahagian di Sarawak.
Katanya, penganjuran tersebut bukan sahaja memperkukuh ekosistem inovasi yang inklusif, malah menyokong usaha menjadikan Miri sebagai bandar raya yang menyokong pembangunan pendidikan, bakat dan inovasi digital.
Majlis turut menyaksikan pameran projek finalis, sesi jaringan, penyampaian anugerah serta sesi bergambar sebelum Girlscode Challenge 2026 Peringkat Akhir Kebangsaan secara rasminya ditutup.- EDISI UKAS