MIRI: Seramai 503 peserta menerima lesen memandu Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Tahun 2026 anjuran DUN Lambir yang memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya belia, mendapatkan kelayakan memandu secara sah.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, program itu turut memberi manfaat kepada golongan berusia 40 hingga 50 tahun yang masih bergantung pada motosikal untuk urusan harian dan pekerjaan.
Menurut beliau, kekangan kewangan menyebabkan sebahagian masyarakat tidak mampu menanggung kos latihan dan ujian memandu, sekali gus menjadikan bantuan itu penting dalam meningkatkan mobiliti serta memudahkan urusan seharian.
“Lesen memandu yang diperoleh perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya, sama ada untuk pergi bekerja, mencari rezeki mahupun membantu urusan keluarga seperti membawa ibu bapa mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Lepas B2 Tahun 2026 di Dewan Taman Jelita, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Dr Ripin mengingatkan penerima supaya mengutamakan keselamatan jalan raya dengan mematuhi peraturan, memastikan motosikal berada dalam keadaan baik serta mengelakkan kegiatan lumba haram dan aksi berbahaya seperti ‘superman’ dan ‘wheelie’.
Beliau turut menyeru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan kesedaran serta penguatkuasaan keselamatan jalan raya, selaras dengan aspirasi kerajaan mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan pada tahun hadapan dan diperluaskan ke kawasan kampung yang masih mempunyai ramai penduduk belum memiliki lesen memandu.
Program berkenaan merupakan inisiatif tanggungjawab sosial kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia dan JPJ yang memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan mendapatkan lesen motosikal, sekali gus meningkatkan mobiliti serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pendapatan.- EDISI UKAS