Bantuan FTES Dorong Anak Muda Untuk Bantu Bangunkan Ekonomi Sarawak
SIMANGGANG: Bantuan Skim Pendidikan Tinggi Sarawak (FTES) membuka peluang kepada anak muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus mempersiapkan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Bagi penerima bantuan, inisiatif itu bukan sahaja mengurangkan beban kewangan keluarga, malah menjadi dorongan untuk mencapai kecemerlangan akademik dan membina kerjaya dalam bidang yang diperlukan negeri.
Salah seorang penerima FTES, Jason Tay Jiat Shern, 23, berkata, bantuan yang diterima membantu meringankan beban ibunya dalam menanggung kos pengajian Ijazah Sarjana Muda Elektrikal dan Elektronik di Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH), Kuching.
Pelajar Tahun Dua itu menyasarkan untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang pada 2028 sebelum menceburi industri berkaitan yang berpotensi menyokong pembangunan ekonomi negeri, termasuk sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
"Bantuan FTES sebanyak RM120,000 yang saya terima secara tidak langsung telah mengurangkan beban ibu yang selama ini telah menyara pengajian saya di TAHOTECH (dulu dikenali sebagai i-CATS) semenjak dari tahun 2025.
"Bantuan ini mendorong saya untuk berjaya dalam pengajian dan seterusnya menetapkan cadangan perlaksanaan Projek Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) di Tanjung Embang, Kuching bernilai RM204 bilion sebagai sasaran untuk membina kerjaya demi membantu memacu ekonomi negeri kita," katanya ketika ditemui pada Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman, di sini, pada Sabtu.
Jason turut turut menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sarawak supaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri dan memanfaatkan peluang pendidikan yang disediakan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran untuk memenuhi keperluan industri Sarawak.
"Saya mengajak anak-anak muda Sarawak untuk menterjemahkan sokongan terhadap impian Premier kita untuk menuntut dan tamat pengajian dengan cemerlang di IPT berkenaan sebelum menyertai mana-mana industri yang dapat membangunkan ekonomi negeri kita.
"IPT ini mungkin belum terkenal pada masa sekarang tapi saya yakin pada suatu hari nanti, sudah pasti nama IPT ini akan naik dan berdiri sama gah dengan IPT di lain-lain negeri," katanya lagi. -EDISI UKAS