MIRI: Seramai 80 penerima Rumah Spektra Permata (RSP) Permyjaya III menerima kunci kediaman masing-masing, sekali gus merealisasikan impian memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, projek itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri pada harga lebih berpatutan.
“Memiliki rumah sendiri juga memberikan keluarga rasa lebih selamat dan ketenangan fikiran. Di situlah keluarga membesar, anak-anak belajar dan kenangan indah tercipta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci RSP Permyjaya III di tapak perumahan berkenaan di Jalan Kuala Baram, di sini, pada Khamis.
Datuk Amar Dr Sim turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), kontraktor, perunding dan semua pihak yang menjayakan projek itu.
Projek dengan nilai skim keseluruhan RM33.9 juta itu melibatkan pembinaan 101 unit rumah teres setingkat dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM120,000 seunit.
Setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dapur dan anjung kereta bagi memenuhi keperluan keluarga.
Projek tersebut disiapkan dalam tempoh 24 bulan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan pencapaian skor 70 peratus, yang membolehkan komponen bangunan dihasilkan secara lebih teratur bagi membantu meningkatkan kecekapan dan kualiti pembinaan.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Miri Adam Yii Yew Sang dan Pengerusi HDC Dr. Abdul Yakub Arbi.-EDISI UKAS