Generasi Muda Perlu Kuasai Kemahiran Seiring Pembangunan Sarawak
MIRI: Generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi memenuhi keperluan pembangunan Sarawak, khususnya dalam bidang teknologi, ekonomi digital, tenaga hijau dan infrastruktur.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan pesat negeri memerlukan generasi muda yang kreatif, berdaya saing serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.
Menurut beliau, kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi tanpa disiplin, sahsiah dan keupayaan menghadapi cabaran dalam dunia yang semakin berkembang.
“Pendidikan merupakan asas utama dalam membentuk masa depan generasi muda. Dalam dunia yang semakin pesat membangun, kejayaan bukan sahaja bergantung pada kecemerlangan akademik, tetapi juga disiplin, sahsiah, kemahiran dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tingkatan 5 Tahun 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Joseph, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Lee yang juga Penaung Persatuan Alumni Sekolah-Sekolah St. Joseph Miri menggalakkan pelajar merebut peluang yang disediakan Kerajaan Sarawak, termasuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi atau mengikuti pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) mengikut minat serta kebolehan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya memanfaatkan masa yang masih ada untuk membuat persediaan akhir menjelang peperiksaan seterusnya.
Dato Sri Lee turut merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah, warga pendidik dan ibu bapa atas komitmen serta kerjasama dalam membimbing pelajar.
Pada majlis sama, beliau menyampaikan peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM234,038 kepada Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Sylvester Lim Poh Sing bagi pihak SMK St. Joseph, Miri.-EDISI UKAS