Asajaya Perkukuh Pembangunan Komuniti Menerusi Empat Fokus Utama
ASAJAYA: Pengukuhan kesedaran sivik, pencegahan penyalahgunaan dadah, kepentingan pendidikan dan pemeliharaan perpaduan menjadi fokus utama Program Transformasi Komuniti Daerah Asajaya dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera dan harmoni.
Penekanan terhadap empat aspek itu bertujuan menggalakkan penglibatan aktif penduduk, khususnya ibu bapa, golongan belia dan pemimpin masyarakat, dalam menangani isu sosial serta memperkukuh tanggungjawab bersama terhadap kesejahteraan komuniti.
Majlis perasmian program di Dewan Perpaduan Kampung Serpan Laut pada Sabtu disempurnakan Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, yang mewakili Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia, Datuk Rubiah Wang.
Dalam aspek kesedaran sivik, penduduk diseru membudayakan amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran bagi mencegah penularan denggi, selain tidak membuang sampah merata-rata serta memanfaatkan perkhidmatan kutipan sampah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Bagi menangani isu sosial, ibu bapa, pemimpin masyarakat dan golongan belia digesa memainkan peranan aktif membendung penyalahgunaan dadah serta gejala sosial yang boleh mendorong kepada peningkatan jenayah dan menjejaskan keharmonian institusi kekeluargaan.
Pendidikan pula ditekankan sebagai asas meningkatkan taraf hidup keluarga dan membentuk masa depan generasi muda, dengan ibu bapa disaran memberi perhatian terhadap pendidikan anak-anak, manakala pelajar digalakkan terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Dalam memperkukuh perpaduan, masyarakat turut diingatkan supaya mengekalkan semangat muafakat, toleransi dan sikap saling menghormati, selain menyelesaikan perselisihan di peringkat kampung menerusi musyawarah dan perbincangan berhemah bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Program anjuran bersama Pejabat Daerah Asajaya, PEMADAM Daerah Asajaya, Skuad Antidadah Asajaya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Serpan Laut serta SABERKAS Daerah Asajaya itu turut menyediakan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penyertaan komuniti.
Antara pengisian program ialah pameran antidadah, pemeriksaan kesihatan, Asajaya Plogging Challenge yang menggabungkan aktiviti kecergasan dengan penjagaan kebersihan alam sekitar, serta sukaneka rakyat bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Temenggong Dato Chek Bujang, Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Asajaya, Mohd Noorhamizan Hamid dan Ketua Kampung Serpan Laut, Samayaku Bogok.-EDISI UKAS