FTES Legakan Beban Keluarga Pedalaman, Buka Peluang Pendidikan Tinggi
LAWAS: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membawa kelegaan kepada keluarga di kawasan pedalaman yang berdepan cabaran kewangan, khususnya dalam memastikan anak-anak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
Bagi Catherine Kinit, 64, seorang suri rumah dari Bakelalan, inisiatif itu amat bermakna kerana membantu mengurangkan beban kewangan keluarga dalam menampung pengajian anak bongsunya, Lalung Pudun, yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Curtin Malaysia.
Catherine berkata, keluarganya perlu menguruskan kewangan dengan teliti kerana selain menampung keperluan pengajian anak bongsu, mereka turut menanggung kos perjalanan dan rawatan kesihatan anak sulung yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, menetap jauh di kawasan pedalaman Bakelalan turut memberikan cabaran kepada keluarga mereka, terutama dari segi kos perjalanan dan perbelanjaan bagi memenuhi keperluan kesihatan anak sulung.
“Anak sulung saya perlu berjumpa doktor setiap tiga bulan dan mengambil ubat setiap dua bulan. Keadaan ini menyebabkan kami perlu menguruskan perbelanjaan dengan lebih teliti kerana kos perjalanan dari kawasan pedalaman juga agak tinggi.
“Justeru, saya amat berbesar hati dengan adanya skim ini kerana ia banyak membantu meringankan beban kami,” katanya ketika ditemu bual.
Beliau berkata, sebelum anak bongsunya melanjutkan pengajian, mereka sekeluarga telah membuat perancangan kewangan termasuk menggunakan wang simpanan dan mempertimbangkan permohonan pinjaman pendidikan sekiranya simpanan sedia ada tidak mencukupi.
Bagaimanapun, kewujudan FTES memberikan kelegaan kepada keluarga kerana kos pengajian yang perlu ditanggung menjadi lebih ringan berbanding sekiranya skim berkenaan tidak diperkenalkan.
Catherine turut menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah rendah dan menengah supaya mula mendapatkan maklumat mengenai FTES serta mengambil peluang yang disediakan Kerajaan Sarawak untuk merancang pendidikan anak-anak ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, masih terdapat ibu bapa yang kurang mengetahui mengenai skim berkenaan, justeru perkongsian pengalaman daripada keluarga yang telah menerima manfaat FTES dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat.
Beliau turut berharap inisiatif pendidikan itu dapat diteruskan pada masa hadapan supaya lebih ramai anak Sarawak, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan masyarakat di kawasan luar bandar serta pedalaman, berpeluang melanjutkan pengajian tanpa terlalu dibebani kekangan kewangan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas bantuan yang diberikan kepada rakyat. Kami berharap skim ini diteruskan kerana masih ramai anak-anak yang mempunyai keinginan untuk melanjutkan pelajaran, tetapi tidak berkemampuan dari segi perbelanjaan.
“Dengan adanya bantuan seperti ini, lebih ramai anak Sarawak berpeluang mendapatkan pendidikan tinggi dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.-EDISI UKAS