Miri City Car-Free Morning Perkukuh Amalan Gaya Hidup Sihat, Rendah Karbon
MIRI: Program Miri City Car-Free Morning bukan sekadar menyediakan ruang rekreasi kepada masyarakat, malah menjadi platform penting dalam menggalakkan gaya hidup rendah karbon serta mengurangkan kebergantungan terhadap pengangkutan bermotor.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, inisiatif anjuran Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu turut memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar menerusi amalan gaya hidup sihat dan mesra alam.
“Lima penganjuran program terdahulu sepanjang 2025 dan 2026 berjaya merekodkan sebanyak 2,910 penyertaan dengan anggaran pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 3.28 tan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Miri City Car-Free Morning Edisi Ketiga 2026 yang berlangsung di sepanjang Jalan Bandaraya hingga Jalan Marina Utama, di sini, pada Sabtu.
Adam Yii berkata, usaha itu turut menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak yang menekankan pembangunan mampan, penglibatan masyarakat dan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Katanya, Bahagian Pembangunan Lestari MBM turut membangunkan pangkalan data bagi menilai keberkesanan program, jumlah penyertaan serta sumbangannya terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya SDG 11 dan SDG 13.
Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang program Miri City Car-Free Morning diadakan, antaranya larian, jalan kaki dan kayuhan santai, tarian kardio, Aerozumba, Tai Chi, saringan kesihatan percuma, pertandingan mewarna, menganyam ketupat serta permainan tradisional.
Pengunjung turut berpeluang mengunjungi jualan makanan, pameran agensi rakan strategik SDG Bandaraya Miri dan menyertai kuiz berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan.
Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar Miri Kaunselor Ariffin Mohamad, Setiausaha Bandaraya Abdul Rahman Taupek serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap SDG MBM Kaunselor Jamil Bujang.-EDISI UKAS