Bintulu Cops Run 2.0 Himpunkan Lebih 2,600 Peserta, Erat Hubungan Polis dan Masyarakat
BINTULU: Program Bintulu Cops Run 2.0 berjaya menghimpunkan lebih 2,600 peserta, sekali gus menjadi platform memperkukuh hubungan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat menerusi aktiviti sukan dan rekreasi.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, program itu akan diteruskan sebagai acara tahunan bagi memberi peluang kepada pihak polis dan masyarakat berkumpul, berinteraksi serta mengukuhkan kerjasama dalam suasana santai.
“Ini merupakan kolaborasi terbaik antara pihak polis dengan masyarakat apabila kedua-duanya dapat bersama-sama menyertai program seperti ini,” katanya ketika ditemui media semasa program tersebut di Parkir Farley, Medan Jaya, di sini, pada Sabtu.
Saifullizan berkata, buat masa ini penganjuran program berkenaan tertumpu di Bintulu, namun pihaknya akan berusaha memperluaskannya ke peringkat lebih besar pada masa akan datang.
Bintulu Cops Run 2.0 menawarkan tiga kategori larian, iaitu 21 kilometer (KM), 11KM dan 5KM dengan pelepasan peserta masing-masing pada 4 pagi, 5 pagi dan 6 pagi manakala masa tamat perlumbaan bagi semua kategori ditetapkan pada 8 pagi.-EDISI UKAS