Lawatan Pemimpin Masyarakat Ke Bebuling Agropark Dedah kepada Pertanian Moden
SPAOH: Lawatan ke Bebuling Agropark memberi pendedahan kepada pemimpin masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar mengenai pendekatan pertanian moden serta peluang ekonomi yang boleh diterokai bersama komuniti setempat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, penglibatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dalam lawatan itu penting bagi memperluas pengetahuan mereka mengenai pembangunan pertanian di kawasan berkenaan.
Lawatan yang diketuai beliau itu disertai Pemanca, Penghulu, Kaunselor, Tuai Rumah dan Ketua Kampung dari kawasan DUN Layar, termasuk kunjungan ke Bebuling Agropark Gallery yang dikendalikan Lotus Farm Agritech Sdn Bhd.
Syarikat berkenaan merupakan antara peneraju yang bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Sarawak dalam meningkatkan pengeluaran tanaman makanan menerusi penggunaan teknologi moden seperti sistem rumah hijau, hidroponik dan fertigasi.
Datuk Gerald turur berkata, empat syarikat peneraju yang dilantik bagi pembangunan Bebuling Agropark memerlukan penglibatan peserta dan rakan strategik untuk menjayakan aktiviti pertanian yang dirancang.
Lotus Farm Agritech Sdn Bhd, misalnya, akan membangunkan dua lot tanah berkeluasan 57.34 hektar menerusi aktiviti pertanian dalam dan luar bangunan, melibatkan tanaman seperti Golden Melon, terung Assam, sayuran berbuah dan sayuran berdaun.
Projek itu dijangka memerlukan penyertaan seramai 120 peserta, sekali gus membuka peluang kepada komuniti setempat untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi berasaskan pertanian moden.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pemimpin masyarakat yang menyertai lawatan berkenaan supaya berinteraksi secara langsung dengan pihak syarikat peneraju bagi mendapatkan maklumat mengenai peluang penyertaan dan kerjasama yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti masing-masing.
Pembangunan Bebuling Agropark merupakan sebahagian daripada komponen pembangunan strategik di kawasan Spaoh yang turut merangkumi projek Naik Taraf Jalan Saka ke Spaoh, SK Paku Central, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Spaoh serta Bebuling STOLPort.
Turut hadir Pengarah Lotus Farm Agritech Sdn Bhd Datuk Fabian Ng Eng Hieng, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) Dampa Long, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Betong Kaunselor Horace Entoi, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong Norman Ngumbang, Pengerusi Gerempung Tuai Rumah (GTR) N.36 Layar Gabriel Spencer Sang serta Penghulu Stanley Ejau, Penghulu Sebastian Randy, Penghulu Ajang Tibu dan Penghulu Uyuk Sunang.-EDISI UKAS