Program Satelit SDG Bersasar Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan kepada Penduduk Ulu Tinjar
MIRI: Program Satelit Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bersasar 2026 memudahkan penduduk pedalaman Ulu Tinjar mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kerajaan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh ke bandar.
Ahli Lembaga Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Dato Dennis Ngau berkata, pendekatan turun padang itu membolehkan agensi kerajaan mendekati masyarakat setempat serta menyampaikan maklumat dan perkhidmatan berdasarkan keperluan sebenar komuniti.
“Di sinilah letaknya makna perkataan ‘bersasar’. Pendekatan ini bermula dengan keperluan sebenar komuniti.
“Penduduk tidak lagi perlu berulang-alik jauh ke Marudi atau Miri untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan, kerana kali ini agensi kerajaan sendiri yang datang ke kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan program tersebut di Balai Raya Kampung Apau Gun, Ulu Tinjar, di sini, pada Khamis.
Dato Dennis berkata, pembangunan masyarakat pedalaman bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik, malah perlu disertai usaha meningkatkan ilmu serta kesedaran penduduk.
Beliau turut menggalakkan masyarakat memanfaatkan program berkenaan sebagai saluran dua hala untuk menyuarakan keperluan dan cabaran kepada agensi berkaitan bagi membantu perancangan program yang lebih bersasar pada masa hadapan.
Program anjuran Agensi Pembangunan Wilayah Koridor (RECODA) bersama HDA dengan kerjasama Pusat SDG Negara (PSN) di bawah Kementerian Ekonomi itu melibatkan lima agensi kerajaan yang berkongsi panduan praktikal berkaitan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Antaranya ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi penekanan terhadap amalan gaya hidup sihat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai keselamatan dalam talian serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhubung penipuan dan penyalahgunaan dadah.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula berkongsi maklumat mengenai perlindungan keselamatan sosial pekerja dan keluarga, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi penerangan mengenai langkah pencegahan kebakaran.
Siri Program SDG Bersasar 2026 di Daerah Marudi akan diteruskan di Rumah Tanjung, Stapang pada 12 November sebelum majlis penutupan di Dewan Suarah Baram, Marudi pada 13 November depan.-EDISI UKAS