FTES Ringankan Beban Kewangan Keluarga, Beri Peluang Anak Melanjutkan Pengajian
BINTULU: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) memberi kelegaan kepada keluarga berpendapatan rendah apabila inisiatif itu membantu mengurangkan beban kewangan dalam membiayai pengajian anak-anak di peringkat pendidikan tinggi.
Bagi pasangan Abdullah Alif Jonas, 45, dan Marziana Morshidi, 44, inisiatif Kerajaan Sarawak itu amat bermakna kerana ia membolehkan anak sulung mereka, Aemyjoana Marsya Abdullah Alif Jonas, meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa perlu terlalu bimbang mengenai kos pengajian.
Anak sulung daripada empat beradik itu kini mengikuti program Sarjana Muda Ukur Bahan (Kepujian) di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu.
Marziana yang berketurunan Melanau berkata, sebelum ini mereka perlu menyediakan peruntukan bulanan bagi menampung perbelanjaan anak ketika mengikuti pengajian di peringkat asasi, sekali gus memberi cabaran kepada kewangan keluarga.
Katanya, keadaan itu agak membebankan kerana mereka turut perlu menguruskan perbelanjaan harian keluarga serta keperluan tiga lagi anak yang masih bersekolah.
“Sebagai ibu bapa, kami memang perlu membuat persediaan kewangan setiap bulan untuk menampung keperluan anak yang melanjutkan pengajian.
“Dengan hanya seorang yang bekerja, perkara itu agak mencabar,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Menurut beliau, bantuan pendidikan percuma menerusi FTES memberikan kelegaan kepada keluarga mereka kerana dapat mengurangkan komitmen kewangan yang sebelum ini perlu disediakan bagi membiayai pengajian anak.
Beliau berkata, peluang yang diberikan itu juga membolehkan anaknya memberi lebih tumpuan kepada pengajian serta berusaha mencapai cita-cita tanpa terlalu dibebani masalah kewangan keluarga.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, bantuan seperti ini sangat membantu mengurangkan beban kami, lebih-lebih lagi apabila masih ada anak-anak lain yang bersekolah.
“Kami berharap peluang yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak ini dapat membantu merealisasikan impian anak untuk berjaya dalam bidang yang diceburinya,” ujarnya.
Sementara itu, Alif yang berketurunan Kenyah berkata, beliau amat bersyukur dengan inisiatif kerajaan negeri yang membuka peluang lebih luas kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, bantuan berkenaan bukan sahaja membantu keluarga mereka, malah memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk menyediakan pendidikan lebih baik kepada anak-anak.
Katanya lagi, pendidikan merupakan antara jalan penting untuk mengubah kehidupan dan beliau sentiasa mengingatkan anaknya supaya menghargai peluang yang diberikan serta berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran.
“Harapan saya sebagai seorang bapa adalah supaya anak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan menggunakan peluang yang diberikan oleh kerajaan negeri dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau turut berharap inisiatif FTES dapat dikekalkan bagi memastikan lebih ramai anak Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian tanpa mengira latar belakang keluarga.
Pasangan itu juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas pelaksanaan inisiatif berkenaan yang disifatkan sebagai bantuan bermakna dalam meringankan beban ibu bapa, khususnya keluarga yang mempunyai tanggungan anak-anak yang masih bersekolah.-EDISI UKAS