Persidangan Antarabangsa Himpun Lebih 300 Pakar, Perkukuh Kerjasama Perubatan Cina & Barat
MIRI: Lebih 300 pakar perubatan, pengamal kesihatan dan penyelidik tempatan serta antarabangsa berhimpun di Miri bagi memperluas perkongsian kepakaran dan kerjasama rentas disiplin dalam bidang endokrinologi menerusi Persidangan Antarabangsa Endokrinologi Perubatan Cina dan Perubatan Barat Kali Kedua 2026.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, penganjuran persidangan itu membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan dan pengalaman profesional, khususnya dalam meneroka pendekatan perubatan yang lebih menyeluruh bagi menangani pelbagai penyakit berkaitan sistem endokrin dan metabolisme.
Menurut beliau, kerjasama antara perubatan Cina dan Barat semakin relevan dalam menangani cabaran kesihatan semasa, termasuk diabetes, obesiti, perubatan presisi, perlindungan kardiovaskular dan buah pinggang serta gangguan endokrinologi kanak-kanak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan dan Perasmian Rasmi persidangan berkenaan di Pullman Hotel Miri pada Sabtu.
Adam Yii berkata, perkongsian kepakaran berkaitan pengurusan diabetes, pengesanan awal dan langkah pencegahan amat penting memandangkan penyakit itu serta gangguan metabolik terus menjadi antara cabaran utama kesihatan awam.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak berkuasa tempatan turut mempunyai peranan dalam menyokong usaha pencegahan penyakit melalui perancangan bandar yang menggalakkan gaya hidup sihat, termasuk penyediaan kemudahan awam, kawasan rekreasi dan ruang aktiviti fizikal untuk masyarakat.
Beliau berharap persidangan itu dapat memperluas jaringan kerjasama antara pakar dan institusi perubatan, sekali gus menyumbang kepada perkongsian ilmu serta peningkatan mutu perkhidmatan kesihatan.
Persidangan yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November itu dianjurkan Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Daerah Miri dengan kerjasama Hospital Miri dan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri serta beberapa pihak lain.
Selain menjadi platform perkongsian ilmu perubatan, penganjuran itu turut membuka peluang kepada delegasi luar untuk mengenali tarikan pelancongan Miri, termasuk Taman Negara Niah, Taman Negara Bukit Lambir, Canada Hill, Grand Old Lady dan Miri City Fan.
Turut hadir, Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong Siew Yu, wakil Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, Dr Wong Yong Kai, Senior Manager of Business Development (Conventions) Business Events Sarawak, Donny Tan dan Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Miri, Ting Chiew Moi. -EDISI UKAS