Ahli Parlimen Mukah Sempurnakan Sambutan Warga Emas, Sampaikan Peruntukan & Sumbangan
MUKAH: Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib telah menyempurnakan Sambutan Warga Emas Mukah yang turut diserikan dengan penyerahan pelbagai peruntukan dan sumbangan di Tapak Parkir Pasar Lama Mukah, pada Sabtu.
Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan Geran Projek Kecil (MRP) Tahun 2026, Peruntukan Khas Perdana Menteri Fasa 3 Tahun 2026 serta sumbangan peralatan perubatan kepada wakil kesihatan kampung.
Seramai 15 penerima menerima Peruntukan Khas Perdana Menteri, manakala 29 penerima lagi menerima geran MRP bagi tahun ini.
Selain itu, sembilan wakil kesihatan kampung turut menerima sumbangan peralatan perubatan bagi membantu memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di peringkat komuniti.
Dato Hanifah berharap semua peruntukan dan sumbangan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima, khususnya dalam menyokong pelaksanaan aktiviti serta usaha pembangunan komuniti setempat.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan memancing, pameran agensi, pertandingan bola sepak jalanan dan karaoke.
Penganjuran sambutan berkenaan bukan sahaja memberi pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan golongan warga emas, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Hadir sama ialah Pegawai Berubatan Hospital Mukah Dr. Nazatul Ashikin Taher, Temenggung Hendi Suhaili, Penghulu Henry Lee Liong Ing dan Pegawai Pejabat Residen Bahagian Mukah Mohd Amirul Valentine Laiseh.-EDISI UKAS