Pembangunan Semula Kuching Libatkan Bangunan Moden, Stesen ART Berpusat
KUCHING: Pembangunan semula bandar Kuching akan melibatkan pembangunan bangunan moden dan pembinaan stesen Transit Aliran Autonomi (ART) berpusat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beberapa langkah penting akan diambil termasuk cadangan merobohkan bangunan sedia ada bagi memberi laluan kepada pembangunan baharu sehingga ke kawasan limbungan kapal.
Jelas beliau, pembangunan itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk memperbaharui landskap bandar serta menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang lebih tersusun.
“Kita akan membangunkan sebuah bangunan moden di sini sehingga ke kawasan limbungan kapal. Di hadapannya pula akan dibina stesen ART berpusat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Sambungan Gurdwara Sahib Kuching di Kuil Sikh Kuching, pada Ahad.
Beliau mendedahkan, perancangan mentransformasikan kawasan berkenaan telah dibincangkan sejak 2013 hingga 2014, sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam merancang pembangunan moden bagi bandar Kuching.
Dalam perkembangan lain, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengumumkan sumbangan sebuah papan pintar bernilai kira-kira RM10,000 bagi melengkapkan bilik darjah komuniti Sikh dengan kemudahan pembelajaran digital.
Kemudahan itu dijangka memberi peluang kepada pelajar mengakses pelbagai sumber pendidikan dalam talian, termasuk platform Khan Academy yang menyediakan bahan pembelajaran merangkumi pelbagai mata pelajaran.
Menurutnya, akses kepada sumber pembelajaran digital sedemikian dapat memperluas peluang pendidikan serta membantu mempersiapkan generasi muda dengan pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Utiliti (Tenaga Sarawak dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki dan Presiden Persatuan Kuil Sikh Sarawak, Dato Dr Kalwinder Singh. -EDISI UKAS