Pembangunan Luar Bandar Fokus Tingkat Pendapatan Rakyat
SPAOH: Pembangunan luar bandar yang menyeluruh dan berimpak tinggi terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat menerusi pelbagai sektor ekonomi strategik.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri komited meneroka pelbagai peluang pembangunan termasuk sektor pertanian, perumahan dan pembangunan bandar bagi memastikan rakyat mendapat manfaat secara menyeluruh.
Menurut beliau, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) memainkan peranan penting dalam memacu transformasi pembangunan luar bandar melalui pelaksanaan projek yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program LCDA Berambeh Ke Betong Sempena Sambutan 45 Tahun LCDA Bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Spaoh, Betong, di sini pada Ahad.
Dalam sektor pertanian, beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II menekankan kepentingan memperkasa perniagaan tani atau agri-business serta pembangunan pertanian moden termasuk projek Agropark Lubok Tamang sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri dan sumber pendapatan baharu kepada rakyat.
Selain itu katanya, pembangunan infrastruktur kampung, kedai komuniti dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) turut diberi perhatian bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan asas yang lebih baik.
Tambah beliau, LCDA melalui LCDA Real Estate Sdn. Bhd. (LRESB) turut memberi tumpuan kepada pembangunan bandar, pembaharuan kawasan penempatan dan penyediaan rumah mampu milik bagi membantu golongan sasaran memiliki kediaman sendiri.
Katanya, kerajaan merancang menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti pada harga sekitar RM150,000, termasuk melalui skim diskaun bagi mengurangkan beban kewangan pembeli.
Dalam pada itu, penerapan teknologi hijau seperti penggunaan tenaga solar serta konsep Bandar Pintar (Smart City) dalam pembangunan penempatan baharu turut menjadi antara pendekatan ke arah mewujudkan kawasan luar bandar yang lebih moden dan lestari.
Usaha tersebut juga bertujuan memastikan pembangunan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus menggalakkan penduduk terus menetap serta membina kehidupan di kawasan masing-masing.
Terdahulu, Datuk Amar Douglas bersama tetamu kehormat yang lain melawat ruang pameran agensi kerajaan yang mengambil bahagian dalam program berkenaan serta menyempurnakan sesi penyampaian sumbangan tunai kepada komuniti sekolah dan rumah ibadat di kawasan Spaoh.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas serta Dato Razaili Gapor. - EDISI UKAS