Biro Wanita Perkukuh Perpaduan Masyarakat, Pemangkin Ekonomi Komuniti
BETONG: Biro Wanita bukan sahaja berperanan memperkukuh perpaduan masyarakat, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi komuniti melalui pelbagai aktiviti keusahawanan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, wanita di kawasan luar bandar perlu terus diberi sokongan dan galakan untuk melaksanakan aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup keluarga.
Menurut beliau, masyarakat perlu merebut peluang daripada potensi ekonomi yang terdapat di kawasan masing-masing, termasuk menerusi aktiviti pertanian, penternakan dan penghasilan produk makanan tempatan.
Katanya, kawasan rumah panjang juga berpotensi dijadikan pusat pengeluaran produk komuniti seperti sayur-sayuran, telur ayam dan makanan tradisional untuk dipasarkan kepada penduduk setempat serta kawasan lain.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau dan Perasmian Biro Wanita dan JKKK Engkeranji yang berlangsung di Rumah Panjang Engkeranji, Layar, Betong, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Datuk Gerald turut mencadangkan agar penduduk, khususnya Biro Wanita, meneroka peluang menghasilkan produk berasaskan sayuran seperti pekasam sawi (atau Kasam Ensabi) untuk dipasarkan secara komersial sekali gus mewujudkan sumber pendapatan tambahan.
Mengambil contoh kejayaan aktiviti inap desa di Rumah Panjang Engkeranji, beliau berkata potensi pelancongan komuniti juga wajar dimanfaatkan apabila difahamkan aktiviti homestay di rumah panjang berkenaan berjaya menjana pendapatan mencecah RM100,000 pada tahun 2024.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pembangunan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berteraskan tiga tonggak utama Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Jelasnya, pendekatan pembangunan inklusif memastikan semua lapisan masyarakat berpeluang menikmati manfaat pembangunan tanpa ada golongan yang tercicir.
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus mengekalkan semangat perpaduan, kerjasama dan sokongan terhadap kepimpinan masyarakat serta organisasi setempat bagi memastikan setiap usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu yang turut hadir mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Biro Wanita Engkeranji sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan peranan wanita dalam pembangunan komuniti setempat.
Menurut beliau, pelbagai program pembangunan telah dan sedang dirancang untuk kawasan Betong, termasuk kawasan DUN Layar, manakala lebih banyak inisiatif pembangunan akan terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya mengekalkan perpaduan dan kesepakatan serta memberikan sokongan kepada kepimpinan masyarakat bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan tradisional, simbolik perasmian, tayangan montaj aktiviti Biro Wanita Engkeranji serta acara memotong kek.
Program yang turut bertujuan mengumpul dana bagi menyokong aktiviti Biro Wanita itu dimeriahkan dengan jualan tiket meja merarau, tiket bertuah, jualan makanan dan minuman serta aktiviti lagu tajaan.
Ianya dimeriahkan dengan kehadiran para wakil daripada 60 Biro Wanita jemputan dari rumah panjang sekitar.
Turut hadir Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPr Moris Nayup, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong, Pemanca Norman Ngumbang, Penghulu Kawasan Layar Tengah, Penghulu Stanley Ejau Erin, Tuai Rumah Panjang Engkeranji, TR Veriland Godon, Pengerusi Biro Wanita Engkeranji, Monaliza John serta para Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum. - EDISI UKAS