‘Do’ Rurum’ Perlu Terus Jadi Pegangan Masyarakat Lun Bawang
LIMBANG: Semangat kesatuan atau ‘Do’ Rurum’ perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian masyarakat Lun Bawang bagi memperkukuh perpaduan, membentuk komuniti harmoni serta memastikan hubungan saling menghormati terus terpelihara.
Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Rozita Kulai berkata, semangat berkenaan tidak seharusnya terhad kepada tema Pesta Nuba Laya 2026, sebaliknya perlu dijadikan pegangan bersama dalam membangunkan masyarakat.
“Kesatuan yang baik merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
“Justeru, saya berharap semangat Do’ Rurum ini terus diamalkan dalam kehidupan seharian serta menjadi pegangan dalam membangunkan komuniti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Nuba Laya Edisi Kelima 2026 anjuran Persatuan Lun Bawang Limbang, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, penganjuran pesta berkenaan turut memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat Lun Bawang, merangkumi makanan tradisional, pakaian, tarian, muzik, bahasa, adat resam dan seni kraftangan.
Katanya, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan khazanah budaya tersebut terus dikenali dan dihargai generasi muda, sekali gus mengelakkan warisan berkenaan daripada terhakis akibat arus pemodenan.
Beliau dalam pada itu turut berharap Pesta Nuba Laya dapat terus menjadi platform memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Lun Bawang, selain berpotensi dikembangkan sebagai produk pelancongan budaya yang mampu menjana manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Lun Bawang merangkap Pengerusi Pengelola Pesta Nuba Laya 2026, Frederick Lalung Ngilo Penghulu Frankey Isak dan Penghulu Larry Siga. -EDISI UKAS