SIDS Miri Digalak Perkasa Wanita Dalam Pengkomersialan Warisan Kraf Tradisional
MIRI: Persatuan SIDS Cawangan Miri digalak memperluas usaha pemerkasaan wanita menerusi pembangunan kemahiran dan keusahawanan, selain mengembangkan kraf tradisional masyarakat Dayak sebagai produk kreatif yang mempunyai nilai komersial.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, wanita mempunyai potensi besar bukan sahaja sebagai tonggak keluarga, malah sebagai usahawan, pemimpin dan penggerak pembangunan komuniti.
Menurut beliau, usaha memperkasa wanita perlu melangkaui bantuan kebajikan dengan memberi penekanan kepada peningkatan literasi kewangan, pemasaran digital, pembangunan kemahiran dan kepimpinan bagi membolehkan mereka lebih berdaya saing serta berdikari.
“Apabila wanita diperkasa, seluruh komuniti akan mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi SIDS Cawangan Miri bertemakan ‘Kaul Pengerindu, Budi Dikenang’, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian menggesa persatuan berkenaan terus memainkan peranan dalam memelihara warisan budaya Dayak, khususnya kemahiran kraf tradisional masyarakat Iban, supaya pengetahuan dan kemahiran tersebut tidak terputus daripada generasi ke generasi.
Katanya, kraf tradisional bukan sekadar hasil seni, sebaliknya mencerminkan identiti, sejarah dan warisan masyarakat yang berpotensi dikembangkan sebagai produk kreatif bernilai ekonomi serta tarikan pelancongan budaya.
Beliau turut menekankan kepentingan melibatkan generasi muda dalam aktiviti pendidikan, kepimpinan dan kebudayaan bagi memastikan kesinambungan legasi persatuan serta pemeliharaan warisan masyarakat.
Menurutnya, pengalaman generasi terdahulu perlu digabungkan dengan tenaga, idea dan kreativiti golongan muda bagi memperkukuh peranan persatuan dalam pembangunan komuniti.
Beliau turut menggalakkan kerjasama antara persatuan, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat khususnya dalam bidang pemerkasaan wanita, kebudayaan, kraf tradisional dan pembangunan belia. -EDISI UKAS