Pelajar Tingkatan 6 SMK Saribas Diseru Terus Berusaha, Berintegriti Dan Rebut Peluang Masa Depan
SARIBAS: Pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas diseru agar terus memperkukuh disiplin diri, mengekalkan integriti serta memiliki minda terbuka dalam menghadapi cabaran pendidikan dan alam pekerjaan yang semakin kompetitif.
Seruan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam semasa berucap pada Majlis Malam Bahtera Budi AKSARI Tingkatan 6 SMK Saribas Tahun 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan dan nostalgia pada Sabtu.
Beliau berkata, kejayaan menamatkan pengajian di peringkat prauniversiti, khususnya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) merupakan satu pencapaian yang membanggakan memandangkan laluan tersebut menuntut disiplin tinggi, ketahanan mental serta pengorbanan masa yang besar.
Menurutnya, para pelajar perlu berbangga dengan pencapaian masing-masing kerana kejayaan tersebut membuktikan keupayaan mereka untuk terus melangkah ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi mahupun memasuki alam kerjaya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik, sebaliknya perlu disertai dengan keperibadian mulia, integriti serta sikap menghormati ibu bapa, guru dan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan para pelajar supaya menjadikan disiplin dan konsistensi sebagai asas kejayaan, selain sentiasa bersedia menimba ilmu baharu serta menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan perubahan semasa.
Pada masa sama, golongan muda dinasihatkan agar menjauhi gejala sosial negatif termasuk penyalahgunaan dadah, budaya hedonisme yang melalaikan serta pengaruh rakan sebaya yang boleh menjejaskan masa depan.
Beliau turut mengingatkan para pelajar supaya tidak mudah berputus asa apabila berhadapan kegagalan, sebaliknya menjadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk memperbaiki diri dan membina ketahanan dalam kehidupan.
Selain itu, para pelajar juga perlu lebih matang dan berfikiran kritis dalam menilai maklumat, khususnya ketika menggunakan media sosial, agar tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu atau maklumat yang tidak disahkan kesahihannya.
Mengulas mengenai prospek masa depan pendidikan, beliau berkata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak terus komited memperkasakan pembangunan modal insan melalui peluasan akses pendidikan tinggi, pengukuhan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkemahiran tinggi serta penekanan terhadap ekonomi digital dan tenaga hijau.
Katanya, usaha transformasi ekonomi Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dijangka membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada golongan muda, khususnya mereka yang memiliki kelayakan akademik dan kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau berharap agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang berada di SMK Saribas menjadi asas kukuh kepada para pelajar untuk melanjutkan pengajian, membina kerjaya profesional serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Dalam ucapannya juga, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah, Jawatankuasa Pengelola, warga pendidik serta ibu bapa dan penjaga atas segala pengorbanan, sokongan dan komitmen dalam memastikan kejayaan anak-anak sepanjang tempoh pengajian mereka.
Beliau menyifatkan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti sebagai antara elemen penting yang menjadi kekuatan dalam membentuk kejayaan serta kesejahteraan para pelajar.
Pada majlis sama, beliau turut merasmikan Majlis Malam Bahtera Budi AKSARI Tingkatan 6 SMK Saribas Tahun 2026. - EDISI UKAS