SARIKEI: ‘Sarawak Taiwan Graduates’ Association’ menerima peruntukan RM15,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti persatuan, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform jaringan bekas graduan Sarawak di Taiwan selepas 62 tahun penubuhannya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, persatuan itu bukan sahaja menghubungkan bekas pelajar Sarawak yang pernah melanjutkan pengajian ke Taiwan, malah menjadi wadah perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk manfaat bersama.
“Sepanjang 62 tahun penubuhannya, ramai anak Sarawak telah melanjutkan pelajaran ke Taiwan dan kembali dengan membawa ilmu serta pengalaman yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-62 persatuan berkenaan, di sini pada Sabtu.
Dalam kesempatan itu juga, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Kerajaan Sarawak atas sokongan berterusan dalam bidang pendidikan dan kebudayaan yang membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. -EDISI UKAS