Klinik Kesihatan Bandaraya Miri Raih Akreditasi MSQH Empat Tahun
MIRI: Klinik Kesihatan Bandaraya Miri (KKBM) menjadi klinik kesihatan pertama di Sarawak memperoleh akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) bagi tempoh empat tahun, sekali gus mengiktiraf standard kualiti perkhidmatan yang ditawarkan fasiliti berkenaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pencapaian itu amat membanggakan memandangkan KKBM merupakan fasiliti kesihatan yang masih baharu dengan tempoh operasi kira-kira tiga tahun.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis ‘Annual Dinner & Celebration of MSQH Accreditation’ Klinik Kesihatan Bandaraya Miri 2026, di sini pada Ahad.
Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan usia sesebuah organisasi bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan, sebaliknya bergantung kepada kepimpinan yang baik, komitmen tinggi serta kerjasama berpasukan.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada seluruh warga KKBM, termasuk pihak pengurusan, pegawai perubatan, jururawat, anggota kesihatan, kakitangan makmal, farmasi, pentadbiran dan anggota sokongan atas sumbangan mereka dalam mencapai pengiktirafan berkenaan.
Dato Sri Lee berharap akreditasi itu menjadi pemangkin kepada KKBM untuk terus mengekalkan standard perkhidmatan berkualiti, mengutamakan keselamatan pesakit serta menjadi penanda aras kepada fasiliti kesihatan lain di Sarawak. -EDISI UKAS