KUCHING: Pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) sempena Sarawak Regatta 2026 memberi tumpuan kepada kebajikan komuniti, sokongan terhadap pengusaha tempatan serta pemeliharaan warisan budaya Sarawak.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Anuar Ismail berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat, selain memberi tumpuan kepada prestasi perniagaan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Simbolik Sumbangan dan Kolaborasi Program CSR sempena Sarawak Regatta 2026, di Tebingan Kuching, pada Ahad.
Antara inisiatif dilaksanakan ialah penyerahan barangan keperluan asas kepada Lembaga Pelawat Asrama Akhlak Kuching serta sumbangan kelengkapan kepada Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Bintawa bagi membantu meningkatkan kemudahan dan keselesaan pengguna.
BPHB turut menyokong pengusaha perahu penambang tempatan menerusi sumbangan bagi membantu kelangsungan mata pencarian mereka, sekali gus menghargai peranan pengangkutan air tradisional itu sebagai sebahagian daripada warisan kehidupan masyarakat Sarawak.
Dalam usaha memelihara seni tradisional, BPHB menjalin kerjasama dengan Hikayat Sulaman Enterprise bagi menyokong kelestarian seni sulaman kain keringkam, warisan tekstil tradisional wanita Sarawak yang turut berpotensi membuka peluang ekonomi kepada pengusaha tempatan.
Selain itu, BPHB menaja penganjuran Perauk Sarong di Kuching dan menyokong Pickleball Fiesta 2026 anjuran MAKSAK Wanita Sarawak sebagai usaha menggalakkan gaya hidup aktif serta mengeratkan hubungan komuniti menerusi aktiviti sukan dan rekreasi.
Anuar berkata, Sarawak Regatta bukan sekadar acara sukan air, malah merupakan warisan budaya yang melambangkan identiti, perpaduan dan kebanggaan rakyat Sarawak.
Menurutnya, penyertaan BPHB dalam Sarawak Regatta untuk tahun keempat berturut-turut menjadi platform memperkukuh hubungan syarikat dengan komuniti serta menyokong pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri yang juga Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang. -EDISI UKAS