E-Boat Solar-Elektrik Pertama Sarawak Dinamakan ‘Seri Batang Ai’
KUCHING: E-Boat berkuasa elektrik dengan sokongan tenaga solar pertama Sarawak Energy yang dibangunkan khusus untuk menyokong operasi Empangan Hidroelektrik (HEP) Batang Ai dinamakan sebagai ‘Seri Batang Ai’.
Penamaan E-Boat berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pangkalan Sapi, di sini pada Ahad.
Sepanjang 10 meter, Seri Batang Ai dilengkapi sistem pendorongan elektrik yang direka oleh pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Sarawak Energy, manakala pembinaannya dilaksanakan syarikat tempatan, Global Fibreglass Industries.
Difahamkan, ianya menggunakan dua motor sangkut elektrik berkapasiti 40 kilowatt setiap satu dengan kuasa gabungan 80 kilowatt, selain sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 92 kilowatt-jam.
Sistem bateri berkenaan turut disokong panel solar atas bumbung berkapasiti 3.6 kilowatt-peak dan boleh dicas menggunakan bekalan grid.
Seri Batang Ai mempunyai jarak operasi dianggarkan antara 40 hingga 50 kilometer, tempoh operasi sekitar tiga hingga empat jam dan kelajuan maksimum 25 kilometer sejam serta mampu membawa sehingga 12 penumpang berdaftar.
Penggunaan sistem pendorongan elektrik tidak menghasilkan pelepasan ekzos secara langsung, selain mengurangkan bunyi dan getaran, sekali gus membantu meminimumkan gangguan terhadap alam sekitar dan biodiversiti.
Selain menyokong operasi di Batang Ai, e-boat itu turut digunakan untuk pengangkutan kakitangan dan pelawat, termasuk lawatan teknikal ke ladang solar terapung Batang Ai.
Pembangunan Seri Batang Ai meneruskan inisiatif e-Penambang Sarawak Energy, yang sebelum ini melibatkan pengubahsuaian bot konvensional kepada bot elektrik sebelum dikembangkan kepada pembangunan bot kerja elektrik yang dibina khusus.
E-boat itu pertama kali dipamerkan semasa sambutan ulang tahun ke-40 Batang Ai HEP pada 2025, manakala Sarawak Energy menerima Lesen Bot dan Permit Pengangkutan Sungai (RTP) bagi Seri Batang Ai pada 21 Oktober lalu.
Penamaan rasmi Seri Batang Ai menandakan satu lagi langkah Sarawak Energy dalam meneroka aplikasi praktikal teknologi tenaga bersih di luar penjanaan elektrik konvensional, di samping memperkukuh keupayaan R&D dan kepakaran kejuruteraan tempatan.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak Datuk Len Talif Salleh serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqa
Foto: George S. Embie