BDA, DID Digesa Perhebat Pemeriksaan Tangani Banjir Bintulu
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) digesa mempergiat pemeriksaan serta penilaian sistem saliran di kawasan yang kerap dilanda banjir bagi mengenal pasti punca dan keperluan penambahbaikan.
Johnny Pang Leong Mong berkata, pemeriksaan perlu meliputi keadaan parit, saluran keluar air, kapasiti sistem perparitan serta kemungkinan halangan dan pengaruh air pasang terhadap aliran air.
“Air yang telah surut bukan bermakna masalah ini sudah selesai. Selagi penduduk masih berdepan dengan masalah limpahan air, kita bertanggungjawab untuk terus mencari punca, menilai kelemahan dan melakukan penambahbaikan,” katanya.
Beliau turut menegaskan keberkesanan projek saliran yang telah siap atau masih dalam pelaksanaan perlu dinilai bagi memastikan penyelesaian terhadap masalah banjir dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berjangka panjang.
Sementara itu, penduduk, Joseph Tie berkata, kejadian banjir yang masih berlaku meskipun kerja menaik taraf parit di kawasan kediaman telah dilaksanakan menunjukkan sistem saliran utama turut perlu diberi perhatian.
Menurutnya, parit di hadapan kediamannya telah dinaik taraf dengan lebar ditambah daripada 320 milimeter kepada 930 milimeter, manakala kedalaman ditingkatkan daripada 340 milimeter kepada 850 milimeter.
“Bagaimanapun, kejadian banjir semalam membuktikan bahawa pembesaran parit secara individu di kawasan setempat sahaja tidak lagi mencukupi.
“Apabila saliran utama terhalang atau mengalami aliran balik akibat air pasang, parit yang luas dan dalam sekalipun tetap akan melimpah,” katanya.
Sehubungan itu, Joseph berharap BDA memberi perhatian terhadap penyelenggaraan infrastruktur serta merangka pendekatan bersepadu yang mengambil kira keseluruhan rangkaian saliran bagi menangani masalah banjir kilat di Bintulu.- EDISI UKAS