283 Peserta Terima Lesen Motosikal B2 Melalui Program Bantuan Lesen Memandu
MIRI: Seramai 283 peserta menerima lesen memandu motosikal Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) 2026.
Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, program berkenaan bukan sahaja membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu pada kadar minimum RM250, malah membuka peluang kepada golongan belia meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah.
“Lesen yang diberikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab, maka gunakannya untuk tujuan yang baik, mencari rezeki yang halal dan membantu keluarga,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan, di sini pada Ahad.
Beliau pada masa sama mengingatkan penerima supaya tidak menyalahgunakan lesen dengan terlibat dalam kegiatan samseng jalanan, lumba haram atau melakukan aksi berbahaya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili, menekankan kepentingan keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal.
Menurutnya, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi 2025, sebanyak 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan, dengan kira-kira 66 peratus melibatkan penunggang motosikal.
Sehubungan itu, penerima lesen diingatkan supaya sentiasa memakai topi keledar yang diiktiraf SIRIM, memasangnya dengan betul serta mengamalkan penunggangan berhemah bagi mengurangkan risiko kemalangan. -EDISI UKAS