‘Mass Folk Dance Integration SeBorneo’ Perkukuh Perpaduan Masyarakat Pelbagai Budaya
LIMBANG: Penganjuran Mass Folk Dance Integration SeBorneo 2026 menjadi platform memperkukuh perpaduan, mengeratkan hubungan persahabatan serta memelihara warisan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak dan rantau Borneo.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya merupakan kekuatan yang membentuk identiti serta keunikan Sarawak.
“Program kebudayaan seperti Mass Folk Dance Integration SeBorneo bukan sekadar platform persembahan tarian tradisional, malah menjadi medium meningkatkan persefahaman, membina persahabatan dan memupuk semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Dato Paulus Palu Gumbang pada Majlis Perasmian Mass Folk Dance Integration SeBorneo 2026, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa Limbang mempunyai kedudukan strategik dalam mengeratkan hubungan masyarakat serantau, khususnya dengan Brunei Darussalam dan Sabah, melalui persamaan budaya, adat resam serta hubungan kekeluargaan yang telah terjalin sejak sekian lama.
Penganjuran program itu turut dilihat berpotensi memperkenalkan Limbang sebagai destinasi kebudayaan, selain memberi manfaat kepada peniaga tempatan dan sektor pelancongan.
Sebanyak 13 pasukan dari Limbang, Lawas, Kuching, Miri, Labuan dan Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam persembahan tarian pada program berkenaan. -EDISI UKAS