Program Jangkauan Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan Kepada Masyarakat Bintulu
BINTULU: Penduduk Bintulu berpeluang mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan penjelasan berkaitan pelbagai dasar, bantuan serta inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak secara langsung menerusi Program Jangkauan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang berlangsung di sini, pada Sabtu.
Program berkenaan menghimpunkan lebih 20 jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat serta menguruskan urusan berkaitan tanpa perlu berkunjung ke pejabat agensi masing-masing.
Pendekatan bersepadu itu turut membantu meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pelbagai bentuk bantuan dan perkhidmatan kerajaan, khususnya berkaitan syarat kelayakan serta prosedur permohonan.
Selain memudahkan akses kepada perkhidmatan, program seumpama itu juga menjadi saluran untuk mendapatkan penjelasan secara terus daripada agensi berkaitan, sekali gus mengurangkan kekeliruan akibat penyebaran maklumat tidak tepat melalui media sosial atau sumber tidak rasmi.
Kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan dengan pemimpin masyarakat, pusat khidmat, sekolah, persatuan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut penting bagi memperluas penyampaian maklumat hingga ke peringkat akar umbi.
Usaha berterusan menerusi program jangkauan seumpama itu dapat memastikan lebih ramai penduduk mengetahui kemudahan yang disediakan kerajaan, memahami proses untuk mendapatkannya serta memanfaatkan bantuan dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka. -EDISI UKAS