Pengasuh Kanak-Kanak Perlu Tingkat Kemahiran, Patuhi Standard Penjagaan
MIRI: Latihan profesional dan pematuhan terhadap peraturan perlu menjadi keutamaan pengasuh serta pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kualiti penjagaan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, tanggungjawab pengasuh bukan sekadar menjaga kanak-kanak ketika ibu bapa bekerja, malah turut merangkumi peranan penting dalam membentuk asas perkembangan dan masa depan mereka.
“Bidang ini memerlukan kesabaran, dedikasi, kefahaman dan sikap prihatin, selain kemahiran serta pengetahuan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Pengasuh 2026 dan Penyampaian Sijil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (KAP), di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pengasuh supaya terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran profesional bagi memastikan mereka mampu menyediakan persekitaran penjagaan yang selamat serta menyokong perkembangan kanak-kanak.
Dato Sri Lee dalam pada itu turut mengingatkan pengusaha TASKA sedia ada dan bakal pengusaha supaya mematuhi semua syarat pendaftaran serta pelesenan yang ditetapkan bagi memastikan operasi pusat asuhan memenuhi keperluan dan standard berkaitan.
Pada majlis tersebut, seramai 47 peserta dilaporkan berjaya lulus peperiksaan Kursus KAP, dengan 20 peserta menerima sijil, manakala 35 peserta Kursus KAP Siri 2/2026 menerima sijil kehadiran.
Majlis anjuran bersama A.G. ‘Training Centre of Excellence’ dan Persatuan Pengasuh Kanak-Kanak Berdaftar Miri itu disertai kira-kira 130 peserta terdiri daripada pengusaha TASKA dan TADIKA, pengasuh, guru serta peserta kursus. -EDISI UKAS