Ibu Bapa Berperanan Bentuk Sahsiah, Penghayatan Al-Quran Anak-Anak
SARIKEI: Ibu bapa perlu lebih peka terhadap perkembangan anak-anak dengan memperkukuh pengawasan terhadap pergaulan, tingkah laku dan penggunaan media sosial bagi menghindarkan mereka daripada pengaruh yang tidak sihat.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, pembentukan sahsiah anak-anak memerlukan perhatian berterusan keluarga, termasuk kesediaan ibu bapa menegur serta membimbing mereka apabila melakukan kesilapan.
Menurut beliau, pemantauan tidak seharusnya tertumpu kepada kehidupan anak-anak di rumah sahaja, malah perlu merangkumi pergaulan di luar rumah dan aktiviti mereka dalam persekitaran digital.
“Adab sopan, tutur kata yang kurang manis, sikap mengabaikan solat di awal waktu, atau tabiat menghabiskan masa yang sia-sia, semua ini perlu dibentuk dari akar umbi sebelum ia menjadi kebiasaan yang merosakkan peribadi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Kebangsaan Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sarikei di sini, pada Sabtu.
Dalam ucapan sama, Dato Ir Yusuf turut menekankan bahawa pencapaian mengkhatamkan Al-Quran perlu disertai komitmen untuk meneruskan pembacaan serta mendalami isi kandungannya, bukan sekadar menyempurnakan bacaan 30 juzuk.
Katanya, ajaran Al-Quran yang difahami dan diamalkan mampu menjadi pedoman kepada generasi muda dalam membina keimanan, ketakwaan serta akhlak mulia ketika menjalani kehidupan.
"Selain memberikan ganjaran pahala, usaha mempelajari kitab suci itu turut membentuk ketekunan, kesabaran dan disiplin yang penting dalam perkembangan diri setiap murid,"jelasnya lanjut.
Beliau turut mengiktiraf peranan guru dan ibu bapa dalam membimbing anak-anak mempelajari Al-Quran serta berharap kejayaan tersebut mendorong mereka untuk terus menjadikan kitab suci itu sebagai panduan sepanjang hayat.-EDISI UKAS