Todak Berjaya 1 Rangkul Gelaran Raja Sungai Sarawak Regatta 2026
KUCHING: Pasukan Todak Berjaya-1 dinobatkan sebagai Raja Sungai bagi kategori Perahu Bidar 30 Pendayung Lelaki (Tempatan) sekali gus merangkul Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada saingan akhir Sarawak Regatta 2026 di Tebingan Kuching, pada Ahad.
Kemenangan dalam perlumbaan kemuncak itu menyaksikan Todak Berjaya-1 mendahului saingan, diikuti pasukan Landas Saga Sebuyau 3 dan Udak-8 yang masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Acara berprestij itu bertambah seri dengan keberangkatan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, serta kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Selain acara Raja Sungai, tetamu kenamaan turut menyaksikan dua lagi perlumbaan tumpuan iaitu kategori Perahu Bidar 30 Pendayung Lelaki Antarabangsa Borneo bagi Piala MTCP Terbuka dan Perahu Kenyalang 20 Pendayung Lelaki (VIP) bagi Piala Premier Sarawak.
Majlis penyampaian hadiah bagi kategori Piala Yang Di-Pertua Negeri Sarawak bagi gelaran Raja Sungai disempurnakan oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi manakala kategori Perahu Kelayang 20 Pekayuh Lelaki VIP (Terbuka) Piala Premier Sarawak disempurnakan oleh Datuk Patinggi Zohari.
Untuk kategori Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Terbuka) Antarabangsa Borneo Piala Kementerian Pelancongan Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Majlis Penangguhan Sarawak Regatta 2026 disusuli dengan perbarisan hormat bot-bot peserta di sepanjang Sungai Sarawak, sesi bergambar berkumpulan serta acara simbolik Penangguhan Perlumbaan Perpaduan.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS