Jualan Festival Kraf Sarawak Berpotensi Lepasi RM2 Juta
KUCHING: Jualan Festival Kraf Sarawak sempena penganjuran Sarawak Regatta 2026 berpotensi melepasi RM2 juta, susulan sambutan menggalakkan pengunjung terhadap pelbagai aktiviti pelancongan dan kebudayaan di Tebingan Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jualan kraf pada tahun lalu berjumlah kira-kira RM2.4 juta, manakala jualan bagi edisi tahun ini masih belum dimuktamadkan.
“Jadi saya rasa kemungkinan kita boleh sampai ke jangkauan itu jugalah, atas daripada RM2 juta untuk kraf,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penangguhan Sarawak Regatta 2026 di Tebingan Kuching, di sini ada Ahad.
Terdahulu, acara berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Tambah Dato Sri Abdul Karim, aktiviti jualan masih berlangsung sehingga malam pada hari terakhir penganjuran, manakala jumlah jualan Sarawak Kitchen juga belum diperoleh walaupun menerima sambutan menggalakkan.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu lagi, susun atur Festival Kraf tahun ini turut diperkemas bagi memudahkan pergerakan pengunjung, dengan ruang jualan ditempatkan di satu bahagian manakala bahagian lain dikhaskan untuk laluan orang ramai.
Sambutan terhadap festival itu turut disokong oleh penganjuran pelbagai acara sepanjang minggu berkenaan, termasuk Festival Perahu Naga Antarabangsa, festival kebudayaan dan Sarawak Regatta, yang membawa pengunjung tempatan serta delegasi antarabangsa ke Kuching.
Dato Sri Abdul Karim berkata, beberapa persidangan dan perhimpunan antarabangsa yang berlangsung dalam tempoh sama turut meningkatkan kunjungan ke bandar raya itu, sekali gus memberi peluang kepada pengusaha kraf dan peniaga tempatan mendapat manfaat daripada kehadiran pengunjung.
Beliau turut berkata maklum balas pengunjung antarabangsa terhadap pengurusan acara, pilihan barangan jualan dan kemesraan masyarakat tempatan adalah menggalakkan.
Maklum balas daripada hotel berhampiran Tebingan Kuching juga disifatkan memuaskan, merangkumi pelbagai kategori penginapan.
Penganjuran acara pelancongan, kebudayaan dan sukan air secara bersepadu berpotensi memperluas peluang perniagaan kepada pengusaha tempatan, selain mengukuhkan daya tarikan Kuching sebagai destinasi pelancongan dan acara antarabangsa. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Ibanez Jeffery Guang & Muhammad Hisyam Arif