14 Agensi Kerajaan Dekati 120 Penduduk Menerusi Program Randau Solidariti Sebuyau
SEBUYAU: Seramai 120 penduduk Kampung Lunying berpeluang mendapatkan maklumat dan mengenali pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi penglibatan 14 agensi dalam Program Randau Solidariti Komuniti Bahagian Samarahan 2026 di Daerah Sebuyau.
Program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWKM) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Pejabat Daerah Sebuyau itu berlangsung selama dua hari, bermula 31 Oktober hingga 1 November di Rumah Panjang Gindi, Kampung Lunying.
Pelaksanaan program itu turut merangkumi pelbagai aktiviti bersama komuniti, termasuk pertandingan sukan rakyat yang memberi ruang kepada penduduk untuk menyertai aktiviti secara bersama.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Simunjan turut mengadakan demonstrasi memadam kebakaran serta penerangan mengenai penggunaan alat pemadam api yang betul bagi meningkatkan pengetahuan penduduk tentang langkah keselamatan dan tindakan awal ketika berdepan insiden kebakaran.
Selain aktiviti komuniti, program berkenaan turut menyediakan taklimat pengenalan program dan kepenggunaan, aktiviti eksplorasi ke Air Terjun Lunying serta penganjuran Solidarity Night.
Penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan sukan rakyat disempurnakan wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Louis Andria Barieng. -EDISI UKAS