SRI AMAN: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman berjaya menarik kehadiran seramai 108,452 pengunjung sepanjang penganjurannya.
Jumlah kehadiran itu diumumkan pada majlis penutupan program yang disempurnakan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, di sini pada Ahad.
Kejayaan menarik lebih 100,000 pengunjung membuktikan SKS terus menjadi platform penting dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, selain menyediakan ruang interaksi antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.
Program berkenaan turut memberi peluang kepada penduduk mendapatkan maklumat mengenai inisiatif, bantuan serta perkhidmatan yang disediakan kerajaan secara lebih dekat dan menyeluruh.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh. -EDISI UKAS